Latest News

Bagaimana Singapura boleh manfaat potensi kewangan dan perbankan Islam?

ADAKAH Singapura akan terkebelakang dalam memanfaatkan potensi kewangan dan perbankan Islam di dunia?

Itulah keprihatinan yang disuarakan Profesor Emir Hrnjic jika Singapura tidak melakukan sesuatu bagi memupuk pertumbuhan industri itu di sini.

Pengarah Pendidikan dan Jangkauan (Outreach) Pusat Kajian dan Pelaburan Pengurusan Aset Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) itu bakal mengupas isu tersebut dalam Sidang Khidmat Kewangan Islam (IFSC) kedua di sini, yang akan diadakan pada 1 Oktober ini.

Sidang di Hotel Orchard itu dianjurkan bersama oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Persatuan Pelaburan Berlandaskan Syariah Teluk Asia (Gascia) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Idea mengadakan sidang sedemikian di sini dicetuskan oleh Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBC), suatu wadah perniagaan yang diiktiraf pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia.

Profesor Emir berkata daya saing Singapura sebagai sebuah pusat kewangan Islam utama di kalangan negara yang tidak mempunyai penduduk Islam sebagai penduduk majoriti semakin terhakis.

Tahun lalu, dalam Indeks Negara Kewangan Islam, Singapura berada di belakang United Kingdom (UK) dari segi aset kewangan Islam.

Di peringkat sejagat, aset kewangan Islam dianggarkan bernilai AS$1.8 trilion ($2.2 trilion) tahun lalu, tetapi Singapura hanya menguasai 0.6 peratus daripada jumlah tersebut.

Aset Islam di bawah pengurusan di Singapura bernilai $4.375 bilion atau kurang 0.3 peratus daripada keseluruhan aset yang diuruskan pengurus aset di Singapura.

Jadi, apakah yang harus dilakukan Singapura?

"Buat permulaan, Singapura harus memberikan semula insentif cukai yang tempohnya tamat tahun lalu,'' ujarnya kepada Berita Harian (BH).

Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam, mendedahkan dalam Belanjawan 2013 bahawa pemerintah tidak akan melanjutkan kadar cukai konsesi 5 peratus yang diberikan sejak 2008 bagi menggerakkan kegiatan kewangan Islam.

Sebaliknya, cukai dikenakan pada kadar 12 peratus seperti produk kewangan konvensional lain.

Kadar 12 peratus ini, bagaimanapun, masih merupakan kadar konsesi yang lebih rendah berbanding kadar cukai korporat biasa - 17 peratus - yang dikenakan pada industri lain.

Beliau yakin Singapura mempunyai kekuatan dalam industri pengurusan harta yang boleh dimanfaat bagi kewangan Islam.

"Singapura berada dalam kedudukan unik untuk memanfaatkan reputasinya sebagai salah sebuah pusat pengurusan harta utama di dunia ini. Pengurusan harta Islam memberikan Singapura daya saing berbanding sektor lain dalam kewangan Islam,'' jelas Profesor Emir.

Dalam sidang itu, ramai lagi tokoh kewangan Islam diundang, termasuk cendekiawan kewangan Islam, Dr Daud Bakar; Ketua Kewangan Antarabangsa dan Pasaran Modal, OCBC Al-Amin Bank Berhad, Encik Alhami Abdan; Timbalan Presiden merangkap Ketua Pembangunan Perniagaan Maybank Islam, Encik Arshad Ismail; dan Ketua Eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management, Encik Ramlie Kamsarie, seorang warga Singapura.

>BUTIR SIDANG IFSC<
Bila: Rabu, 1 Oktober
Tempat: Hotel Orchard
Bayaran: $50 seorang, tetapi potongan harga diberikan jika lebih dua orang mendaftar
Pendaftaran: Boleh dibuat menerusi laman webwww.ifsc2014.gascia.org

"Singapura berada dalam kedudukan unik untuk memanfaatkan reputasinya sebagai salah sebuah pusat pengurusan harta utama di dunia ini. Pengurusan harta Islam memberikan Singapura daya saing berbanding sektor lain dalam kewangan Islam.''

- Profesor Emir Hrnjic, Pengarah Pendidikan dan Jangkauan (Outreach) Pusat Kajian dan Pelaburan Pengurusan Aset Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Read More

Events

IFSC 2014 - Revitalising the Islamic Finance Landscape
Date: 1 October 2014 Time: 8.30am to 5.30pm Venue: Orchard Hotel, 442 Orchard Road, Singapore 238879 Back for second year, the Conference will gather Islamic Finance service providers such as bankers, financial advisers, shariah advisers, wealth advisers, fund managers and educators, and focus on issues relating to the ancillary services necessary to the growth of the industry....
Read More
Business Mission to Jakarta ( Trade Expo Indonesia)
                    
Read More


Singapore Malay Chamber of Commerce & Industry
15 Jalan Pinang, Singapore 199147
Phone: +65 6297 9296 | Fax: +65 6392 4527
Email: smcci.info@smcci.org.sg
Copyright © 2013 SMCCI. All Rights Reserved.